2 hari terperangkap di bawah runtuhan, kanak-kanak ditemukan sebelah mayat nenek

  • Post author:

Sungguh menyayat hati apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditarik keluar dari bawah runtuhan sebuah rumah dalam keadaan masih hidup, dan ditemukan bersebelahan mayat neneknya.

Kanak-kanak yang terperangkap di bawah runtuhan selama dua hari itu, bagaimanapun dilaporkan selamat.

CNN melaporkan, situasi itu memberi harapan kepada waris mangsa yang masih mencari orang tersayang selepas gempa bumi cetek menggegarkan rantau Cianjur, wilayah Jawa Barat Isnin lalu.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), anggota penyelamat menyelamatkan kanak-kanak bernama Azka Maulana Malik itu di kampung Nagrak, dalam daerah Cugenang.

Satu rakaman video menunjukkan situasi ketika kanak-kanak tersebut dibawa keluar anggota penyelamat.

Azka kini dirawat di sebuah hospital di Cianjur dan pasukan penyelamat sebelum ini telah membawa keluar mayat ibu bapa kanak-kanak lelaki tersebut.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Cianjur sekitar pukul 1.21 petang (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer.

“Angka kematian kini meningkat kepada 271 orang,” kata Ketua BNPB, Mejar Jeneral Suharyanto dalam satu sidang akhbar semalam sambil menambah, lebih satu pertiga daripada mangsa yang maut adalah kanak-kanak.

BNPB juga telah mendirikan 14 khemah pelarian dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk penduduk yang hilang tempat tinggal.

Baca Juga: Anwar Ibrahim angkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 jam 5 petang ini

Baca Juga: [VIDEO] Ular depan bonet kereta, wanita ini dipuji sebab…