Sebanyak 2,560 jam tangan pelbagai jenis dan berjenama terkenal menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran pemilik cap dagang, dirampas di Kota Bharu semalam.
Rampasan bernilai RM25,600 di sebuah stor itu, dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, serbuan itu dilakukan selepas KPDNHEP negeri menerima aduan daripada oleh wakil pemilik cap dagang.
“Sebelum serbuan dilakukan, pihak kami telah melakukan intipan selama seminggu. Semasa serbuan dijalankan dan hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan telah menjumpai jam tangan getah pelbagai jenis dan jenama terkenal.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan tersebut telah melanggar peraturan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Azman, siasatan awal mendapati pemilik premis membuat pembelian barang ini dari luar negara seterusnya menjual secara dalam talian.
Beliau berkata, pemilik premis turut dikesan melakukan aktiviti tersebut secara langsung menggunakan laman sosial untuk mendapat keuntungan yang tinggi, sekali gus mengaburi pihak berkuasa bagi mengelakkan dikesan.
Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.
Baca Juga: Terima jambangan bunga, Nasha Aziz mengaku ada orang istimewa