Makanan yang bersih selain premis yang menitik beratkan soal kebersihan, pastinya menarik pengunjung untuk datang makan di sana.
Namun berbeza pula situasi di Bandar Baru Selayang, Batu Caves dan kawasan sekitarnya apabila Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengarahkan 27 premis makanan ditutup dan 224 notis kesalahan dikeluarkan.
Arahan penutupan dan notis itu dikeluarkan dalam Operasi Penguatkuasaan Premis Bersih dan Peraturan – Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Khamis lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas premis itu dilakukan mengikut Peraturan – Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di Bandar Baru Selayang, Batu Caves dan kawasan sekitarnya.
Menurut Sha’ari, sebanyak 165 premis makanan dan 319 notis kesalahan dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM185,650.
“Bagi penguatkuasaan premis bersih, sebanyak 64 notis kesalahan tidak mematuhi kehendak berkaitan tugas am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan manakala 58 notis yang berkaitan kepatuhan dalam pelupusan sampah.
“51 notis pengendali makanan tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut, 16 notis tidak mematuhi kebersihan premis makanan, 12 notis berkaitan kebersihan diri pengendali makanan.
“Juga kesalahan lain seperti tidak membuat pendaftaran premis makanan serta tidak mempamerkan perakuan pendaftaran, tidak mematuhi kehendak sinki cuci tangan, pengendalian makanan, perkakas dan cara penyimpanan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Baca Juga: Mahu ‘kekal muda’, ini enam tips daripada suri hati tokoh pemimpin yang boleh dicontohi
Baca Juga: Uncle Cina ini ingat cendol dekat kenduri kahwin kena bayar, sopan je tanya berapa harga