Sempena sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan, Bandar Hilir, Melaka, sebanyak tiga laluan akan ditutup buat sementara.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, memaklumkan penutupan jalan itu membabitkan Jalan Kota dan Jalan Taman (berhampiran Menara Taming Sari) bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.
“Manakala Jalan Parameswara iaitu dari hadapan bekas bangunan Hotel Equatorial hingga ke tapak program bermula jam 7.30 malam hingga jam 12 tengah malam.
“Kita jangka kira-kira 20,000 kenderaan akan masuk ke kawasan Banda Hilir yang menjadi pusat tumpuan pelancong pada Jumaat ini berbanding purata kira-kira 10,500 kenderaan sehari pada cuti hujung minggu.
“Polis Melaka membuat persiapan rapi menerusi beberapa pendekatan dirangka bagi memastikan sambutan Hari Malaysia kali ini berjalan lancar dan aspek keselamatan diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan pada hari ini.
Menurut Christopher, seramai 336 pegawai dan anggota ditugaskan sempena sambutan itu, membabitkan tugasan mengawal aliran trafik dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan Banda Hilir dan juga tapak program.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia 2022 supaya datang awal dan meletakkan kenderaan mereka di parkir yang disediakan di sekitar kawasan berhampiran.
Baca Juga: Netizen sebak dengar anak arwah Abam panggil “ayah”
Baca Juga: Tak mahu tempat kedua, gelagat adik ini cuit hati netizen