Seramai 46 pendaki terperangkap di air terjun Telaga Tujuh, Langkawi dalam kejadian kepala air, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon memaklumkan, semua mangsa dipercayai telah membuat pendakian ke atas puncak seawal jam 4 pagi sebelum sampai di puncak pada jam 7.30 pagi.
Katanya, kesemua pendaki kemudiannya berehat selama 30 minit sebelum turun dari puncak telaga itu kerana cuaca hujan.
“Apabila sampai di kawasan aliran sungai, pendaki berkenaan tidak dapat melintasi sungai tersebut akibat air terlalu deras, seterusnya menghubungi bomba untuk diselamatkan.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi terus bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati pendaki gunung berusia lingkungan 30-an hingga 50-an terperangkap di air terjun itu.
“Komander operasi melaporkan bahawa keadaan di tempat kejadian hujan lebat dan arus deras ekoran terjadi kejadian kepala air,” katanya.
Sayani berkata, anggota penyelamat kemudiannya membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai untuk anggota penyelamat bergerak ke lokasi mangsa terperangkap.
Beliau berkata, operasi masih berjalan dan hujan masih berlarutan.
Baca Juga: Terbaik abang lori! Budi bahasa di mana sahaja
Baca Juga: Dapat merasa duduk lokap 7 jam, Zed Zaidi menang kes sebar berita palsu