5,262 pesawah Pulau Pinang bakal terima RM500 bulan ini

  • Post author:

Seramai 5,262 pesawah yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang akan menerima Bantuan Bayaran Sara Hidup sebanyak RM500 pada bulan ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang menyatakan pembayaran bantuan tersebut akan dilakukan secara ‘one-off’ kepada pesawah di negeri berkenaan.

“Pemberian bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.6 juta. Ia akan dimasukkan terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang. Konsep pemberian sama seperti pemberian bantuan kepada nelayan sebelum ini.

“Kita berharap dengan pemberian bantuan ini, ia dapat meringankan beban yang dihadapi pesawah padi sekali gus dapat memberi rangsangan kepada pesawah untuk mengekalkan Pulau Pinang di dalam senarai teratas pengeluar padi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar hari ini.

Menurut Kon Yeow lagi, pesawah terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalam pengeluaran beras untuk keperluan negeri dan juga negara.

“Antara cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuh adalah cuaca yang tidak tentu serta peningkatan kos bahan input seperti baja kimia dan agrokimia untuk tanaman.

“Faktor pandemik Covid-19 dan peperangan antara Rusia dan Ukraine turut menjadi penyumbang utama perkara ini,” ujarnya lagi.

Baca Juga: Banyak sangat kes culik, sampai mak ambil anak pun dikatakan penculik

Baca Juga: JKM mohon bantuan kesan ibu bapa Ayyash