Vokalis kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Penyanyi rock legenda, Amy Search kini memasuki senarai terkini golongan anak seni tanah air yang bergelar Datuk.
Amy 64, menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Melaka itu berlangsung di Dewan Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Penghibur yang sudah 42 tahun mendedikasikan hidup terhadap arena seni itu sekali gus menjadi satu-satunya penggiat seni yang menerima darjah kebesaran pada majlis berkenaan.
“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.
“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” ujar Amy memetik Gempak.
Seramai 883 individu dalam senarai penerima anugerah kebesaran didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM), membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Darjah Kebesaran Melaka diberikan kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media massa dan ahli-ahli badan sukarelawan.
Baca juga: Bergurau tak kena tempat, lelaki tahan sakit 10 hari sebab cawan keluli disumbat ke dalam rektum