Akibat terlalu banyak tengok TV, kanak-kanak ini ‘dihukum’ tonton TV sepanjang malam

  • Post author:

Dalam hidup ini, jika kita nak buat sesuatu perkara sama ada melibatkan hobi atau sebagainya, ada baiknya ia dilakukan secara bersederhana.

Ini kerana, kalau individu itu terlalu obses dengan sesuatu, bimbang ia akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Macam seorang kanak-kanak di China ini, gara-gara terlalu banyak menonton televisyen, dia ‘dihukum’ oleh ibu bapanya untuk terus menonton rancangan kegemarannya sepanjang malam.

Memetik laporan Oddity Central, pasangan dari wilayah Hunan, tengah China menyuruh anak mereka berusia lapan tahun itu menyiapkan kerja sekolahnya dan tidur pada pukul 8.30 malam, sebelum mereka keluar.

Namun, apabila pulang ke rumah, anak lelakinya masih lagi menonton televisyen walaupun sudah melepasi waktu tidurnya.

Malah, pasangan itu turut mendapati anaknya tidak menyiapkan kerja sekolah sehingga menyebabkan mereka marah dan memutuskan untuk menghukumnya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah itu yang tular dalam media sosial di China, kejadian itu berlaku pada malam 11 November lalu.

Pasangan berkenaan menghukum anaknya dengan menyuruh kanak-kanak itu menonton rancangan kegemarannya di televisyen sepanjang malam dan bergilir-gilir mengawasinya supaya mereka boleh memaksanya untuk berjaga.

Kanak-kanak itu pada mulanya kelihatan tenang menonton televisyen tetapi selepas beberapa jam, dia mula menjadi letih dan semakin mengantuk.

Rakaman video menunjukkan budak lelaki itu juga cuba memasuki biliknya untuk tidur, namun dipaksa oleh ibunya menonton televisyen lagi.

Pada pukul 2 pagi, kanak-kanak itu mula menangis dan merayu pada ibunya untuk dibenarkan tidur, namun tidak berjaya.

Budak lelaki itu juga terlelap di sofa beberapa kali, namun ibu atau bapanya tetap mengejutkannya untuk terus menonton televisyen.

Berdasarkan rakaman CCTV, kanak-kanak itu hanya dibenarkan tidur kira-kira pukul 5 pagi.

Baca Juga: Gara-gara dituduh merogol, lelaki ini kena ketuk ketampi sebagai hukuman

Baca Juga: Gempa bumi Cianjur, angka korban meningkat kepada 321 orang