Seorang wanita sudah mulai muak dengan sikap ibu mentua yang begitu gemar mengatur segala aspek terutamanya di dalam kehidupan anak-anaknya.
Tidak terhenti di situ, keadaan malah menjadi semakin memburuk apabila sang ibu turut ikut campur dan menjadi orang ketiga di dalam urusan rumah tangga mereka.
Perlu kekuatan untuk mempertahankan perkahwinan, berikut perkongsian wanita bernama Mawar yang tidak mampu lagi menahan sabar dengan sikap ibu mentuanya.
“Aku sebenarnya sudah terlalu lama pendam perasaan ini. Aku betul betul kecewa dengan sikap ibu mentua. Aku perasan bila apa-apa terjadi pada anak kandungnya, mentua akan menangkan anak-anak dia dan menyalahkan pihak lain 100 peratus. Aku agak kurang senang dengan sikap ini, tapi memilih untuk berdiam diri.
“Kalau salah itu datangnya dari pihak menantu, tujuh keturunan pun belum tentu habis dia mengungkit. Kalau menantu buat sesuatu, yang betul pun boleh jadi salah. Entahlah, aku pun tak tahu mana silapnya. Aku ini sudah tiada mak dan ayah. Aku memang menumpang kasih pada ibu dan ayah mentua sahaja.
“Selalu mak mertua ini mengumpat dan mengata perihal menantu lain di depan aku. Kerana aku menantu yang paling dekat dan selalu berjumpa dengan dia. Sebab itu aku banyak dengar benda yang kurang enak pasal menantu lain. Bukan sebab aku menantu kesayangan. Aku malas nak ambil peduli dan akan cuba ubah topik.
“Pada dia, serba serbi tak kena. Baik menantu perempuan mahupun lelaki. Menantu perempuan suruh suami cebok berak anak, dituduhnya menantu itu manja. Hanya kerana suruh suami cuci. Padahal aku tengok anak perempuan dia pun dua kali lima sahaja. Menantu tapau makanan kat luar pum katanya menantu perempuan malas.
“Mentua cakap, menantu tahu nak habiskan duit anak dia sahaja. Boros. Padahal anak perempuan dia pun boleh kira dengan jari berapa kali sahaja memasak dalam setahun. Menantu lelaki tak tolong isteri buat kerja rumah, dikatanya menantu lelaki tak nak tolong menolong. Sama-sama keluar cari duit, sama-samalah but kerja rumah.
“Cuba kalau situasi sama jadi kat menantu perempuan dan anak lelaki dia. Hilang segala hujah-hujah dalam rumahtangga ini yang semua benda kita kena buat sama-sama. Aku sebenarnya bosan dengar dia bercerita buruk pasal menantu lain. Sakit telinga. Aku juga sudah jangka mesti dia sakan mengata aku juga di belakang.
“Mentaliti keluarga mentua memang macam itu. Semua orang salah, mereka sahaja yang betul. Semua orang konon dengki dengan hidup mereka anak beranak. Sebab merekalah terpaling kaya, terpaling hebat, terpaling sempurna. Hidup orang lain huru hara. Sebab itu agaknya satu Malaya ini dengki dengan mereka anak beranak.
“Mak mertua aku ini sejenis suka mengatur hidup anak-anak. Geran motor suami aku pun dia pegang. Setiap kali nak baharui roadtax, ibu mentua yang buatkan. Suami aku hanya pindahkan wang sahaja. Aku pelik masa mula-mula kahwin dahulu. Sebab aku dibesarkan dengan ibu bapa yang ajar pasal tanggungjawab.
“Sejak umur 12 tahun dapat kad pengenalan, simpan sendiri. Kalau hilangkan, kau kena bertanggungjawab sendiri. Apatah lagi geran motor, kereta. Semua uruskan sendiri. Sekarang pula mak ayah aku sudah meninggal. Lagilah segala benda perlu uruskan dan fikir sendiri. Tapi berbeza dengan keluarga suami aku.
“Bayangkan, nak pergi temu duga pun sijil SPM kena tanya kat mana mak simpan. Fahamlah ya macam mana mak mertua aku dan anak-anaknya ini. Bapa mertua aku pula sangat baik. Sangat menjaga hati menantu. Sama rata sahaja sayang semua cucu-cucu dia. Ikhlas. Kita dapat rasa keikhlasan orang sayang dan terima kita.
“Aku ini dari mula kahwin, banyak benda yang ibu mentua cuba aturkan. Masa ayah aku ada lagi. Nak balik beraya dengan ayah aku pun, dia perli-perli. Mula macam tak bagi, tetapi suami aku jenis tak dengar sangat cakap mak dia. Aku ini duduk berjiran dengan mak mertua. Jadi sekali sekala, nak juga balik ke kampung halaman aku.
“Masa mula mula kahwin dulu, asal aku baru balik dari kampung sahaja, memang berdas-das perlian mak mertua aku. Bernanah hati Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi aku jenis malas nak layan. Malas nak fikir lebih. Aku diamkan sahaja. Sampailah baru-baru ni, aku duduk berborak dengan ibu mentua dan biras-biras.
“Aku tengah tunggu hari nak bersalin. Jadi sajalah tanya biras, sekarang sudah boleh ke suami teman dalam bilik bersalin. Dengan tak semena-mena, soalan aku itu terus dipintas oleh mak mertua. Katanya, tak payahla susah-susah suruh suami aku teman bersalin. Anak dia itu penggeli. Takut darah katanya. Nanti pengsan, susah.
“Ibu mentua kata dulu dia beranak seorang sahaja. Tiada sesiapa teman. Keluar juga budaknya. Walhal beberapa tahun lepas, masa dua orang anak perempuan dia nak bersalin, suami tak dapat teman sebab berada di luar kawasan. Dia juga yang beriya datang dari kampung nak teman anak perempuan dalam bilik bersalin.
“Macam aku cakaplah. Giliran anak dia, semua betul. Tetapi giliran menantu, semua jadi salah pula. Aku betul-betul terasa. Selama ini aku diam sahaja bila mentua cuba nak nafikan hak aku sebagai isteri kepada anak dia. Tetapi kali ni, aku tersinggung dan betul-betul terasa. Mungkin sebab aku tengah sarat. Entahlah.
“Aku sudah penat jadi kuat. Aku penat jadi tunggak kekuatan diri sendiri. Aku sudah penat berdikari. Kadang-kadang nak juga rasa dimanjakan. Nak juga dapat layanan istimewa dari suami aku. Salahkah aku nak suami aku teman dalam bilik bersalin nanti? Mak mertua cakap, nanti anak-anak yang lain siapa nak jaga.
“Aku dah rancang nak minta tolong adik-adik aku jagakan. Aku takkan menyusahkan mak mertua pun. Aku mengaku memang sensitif akhir-akhir ini. Pengalaman bersalin aku yang lepas tidak menyenangkan. Beranak masa PKP, faham sahajalah. Semua kena urus sendiri. Jadi kali ini, aku harap suami dapat teman bersalin.
“Bukan aku nak mengada-ngada sangat. Sedih tau. Bila tiada mak ayah, kau menumpang kasih dengan mak ayah orang lain. Mereka pula tak ikhlas terima kau. Sumpah sedih. Aku tak faham kenapa hak sebagai isteri untuk minta suami teman bersalin pun dia nak nafikan, nak pertikaikan.
“Masa aku bersalin anak sulung dahulu, lagilah. Anak kena masuk wad pemantauan sehari lepas bersalin. Sebab air ketuban aku pecah awal. Jadi aku dibenarkan balik dahulu, anak masih dalam wad. Esoknya, hospital telefon suruh datang ambil anak aku. Masa itu aku berpantang di rumah mak mertua. Aku kan tiada mak.
“Suami aku pula tiada pengalaman urus orang lepas bersalin. Rumah mentua juga besar dan adik beradik suami semua duduk jauh, jarang balik. Agak selesalah, tiada isu aurat. Tetapi itulah, mak mertua beriya tak bagi aku ambil anak dekat hospital. Dia cakap orang dalam pantang mana boleh keluar rumah.
“Tergamam juga aku. Hospital itu agak jauh dari rumah mertua, kira-kira sejam lebih. Aku dengan berat hati, duduklah rumah tunggu suami dan mak mertua pergi ambil anak. Sampai hospital, suami telefon. Katanya jururawat tak bagi anak keluar selagi tak tengok aku menyusukan. Yang boleh ambil bayi dari wad cuma ibu bapa sahaja.
“Betullah Allah mendengar dan menjawab doa hambaNya yang teraniaya. Tahu tak, mula dari anak balik hospital, aku yang mandikan sendiri. Tiada bertungku bagai. Berbengkung pun hentam sahaja. Makan pun apa yang ada. Mak mentua tak masak lauk pantang untuk aku. Dia tak jaga aku betul-betul dalam pantang.
“Dua hari lepas bersalin, aku dah sapu bilik. Angkat bakul kain nak sidai. Angkat kain baju nak basuh. Mentua tengok sahaja. Bila jiran datang melawat, mereka tanya kenapa aku buat kerja rumah. Ibu mentua kata aku yang tak dengar cakap, tak nak pantang betul-betul. Padahal dia langsung tak nak menolong.
“Aku basuh, sidai kain pun dia buat tak tahu sahaja. Tetapi bila orang datang, aku pula yang bersalah dimata masyarakat. Jadi kali ini aku buat keputusan pantang sendiri sahaja. Upah Penjaga Pantang (Confinement lady) lagi bagus. Takpun upah orang gaji harian tolong uruskan rumah. Serik sudah aku.
“Jadi aku harap sangat kali ini, ada orang yang ikhlas dan bertanggungjawab akan jaga anak-anak aku dengan baik bila bersalin nanti. Semoga anak-anak diberikan kesihatan yang baik dan kesejahteraan, keselamatan dari semua perkara yang berbahaya. Semoga tenang jiwa mereka semasa aku di hospital untuk melahirkan.
“Semoga urusan bersalin aku nanti dipermudahkan dan cepat selesai. Harap suami dapat bersama teman aku dalam wad bersalin dan bantu apa yang patut. Semoga semuanya dipermudahkan dengan izin Allah. Aku sudah tiada sesiapa. Aku harapkan doa suami dan orang yang menyayangi aku. Aku perlukan suami kali ini.
“Aku perlukan kekuatan dan semangat dari dia. Kamu semua aminkan doa aku ya. Semoga urusan kamu semua juga dipermudahkan dan dimurahkan rezeki kalian sekeluarga. Amin ya Rabbal Alamin. Terima kasih, dengar luahan aku.” Tulis Mawar (bukan nama sebenar).
Baca juga: Tumpangkan nenek misteri waktu maghrib, wanita terkejut dapat tahu bayi dalam kandungan hilang