Ambil kesempatan ketika wanita mabuk, bekas anggota kumpulan K-Pop dipenjara 13 tahun

Bukan hanya ambil kesempatan ke atas wanita mabuk, bekas anggota kumpulan Exo, Kris Wu juga mengajak remaja bawah umur untuk melakukan seks melalui sosial media.

Penyanyi solo dari China itu dipenjara 13 tahun selepas didapati bersalah merogol tiga wanita oleh mahkamah daerah Chaoyang, Jumaat lalu.

Mahkamah memaklumkan, hukuman tersebut dijatuhkan atas jenayah rogol yang dilakukannya pada 2018 dan 2020.

“Selepas menilai sifat, keadaan dan kesan jenayah dilakukan, hakim sebulat suara bersetuju dengan hukuman tersebut,” jelas mahkamah dalam kenyataan.

Wu dibuktikan bersalah menganjurkan parti seks pada 2018, selain merogol seorang wanita pada 2020, tiga mangsanya dikatakan berada di bawah pengaruh alkohol ketika dirogol.

Proses perbicaraan yang bermula Jun lepas dilakukan secara tertutup untuk melindungi privasi mangsa.

Ajak remaja bawah umur lakukan seks

Polis menahan reman Wu sejak Ogos 2021 selepas aduan dibuat tentang kegiatannya di laman sosial yang berulang kali mengajak remaja bawah umur melakukan seks.

Tidak hanya itu, seorang remaja perempuan juga tampil membuat laporan polis selepas dihubungi tujuh wanita yang mendakwa Wu menjanjikan mereka pekerjaan. Remaja tersebut mendakwa Wu merogolnya ketika dia di bawah pengaruh alkohol.

Selain kes rogol, Kris juga didenda sebanyak 600 juta Yuan (RM375 juta) atas kesalahan mengelak membayar cukai menurut Perkhidmatan Cukai Perbandaran Beijing bagi Pentadbiran Percukaian Negeri lapor Utusan.

Baca Juga: Demi faktor kesihatan, Hael Husaini tangguh konsert pertama

Baca Juga: Syampu apa Fahmi Reza guna?