Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia. Ini berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara sebentar tadi.
Kenyataan tersebut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah perkenan melantik Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Menerusi Perbincangan Khas yang berlangsung bermula pada 11.00 pagi itu. Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 lepas.
“Proses yang tersebut di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5.00 petang hari ini di Istana Negara.”
Jangan bebankan rakyat dengan kemelut politik
Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.”
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.
Baca Juga: Berani ancam nak bunuh Agong di media sosial, lelaki 30-an ditahan
Baca Juga: Sindir menteri – Penjual mi ditahan, rumah digeledah