APMM temui 1,680 tin minuman keras tanpa cukai

  • Post author:

Selepas kehadiran pihak berkuasa, tekong bot nekad memecut laju botnya dan meloloskan diri ke kawasan paya bakau di pesisir Mempakul, awal pagi tadi.

Dia kemudian meninggalkan bot tersebut bersama 1,680 tin minuman keras tanpa cukai, sebelum ianya ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan pada 1 pagi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh memaklumkan, pergerakan bot gentian kaca itu dikesan menghala tanah besar Sabah ketika rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut di perairan berkenaan.

Katanya, pasukan cuba menahan bot terseut untuk pemeriksaan namun, ia dipecut laju ke kawasan paya bakau di Mempakul.

“Hasil pencarian akhirnya membawa kepada penemuan bot itu yang ditinggalkan bersama 1,680 tin minuman keras tanpa cukai.

“Bot dan minuman disita dan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Nudin, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.

Nudin menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan salah laku dan jenayah rentas perairan.

Baca Juga: Khai Bahar mohon doakan ibu, masuk ICU sebab kegagalan buah pinggang

Baca Juga: Mahu namakan bayi ketiga dengan nama perempuan simpanan, Adam Levine curang