Atlet Olimpik yang menang mesti dapat pingat emas, perak, dan gangsa? Kenapa? Oh! rupanya, apabila kita menonton acara sukan, salah satu aspek yang ikonik adalah saat atlet-atlet bergelar pemenang menerima pingat mereka.
Pingat emas, perak, dan gangsa yang diberikan kepada pemenang adalah satu tradisi yang telah lama diamalkan, mempunyai makna yang bukan hanya harus dilihat sebagai satu simbol kosong.
Penganugerahan pingat-pingat ini sebenarnya sudah berakar dalam sejarah dan tradisi sukan masyarakat barat, mencerminkan pencapaian tertinggi di kalangan pesaing yang bertanding sejak dulu lagi.
Sejak bila hadiah untuk sukan mula diperkenalkan?
Tradisi memberi pingat emas, perak, dan gangsa secara asasnya boleh dikesan bermula ketika zaman Olimpik purba, yang diadakan di Greece kira-kira tahun 776SM sehingga tahun 393.
Dalam Sukan Olimpik purba, pemenang dinobatkan dengan mahkota yang diperbuat daripada daun pokok zaitun, sebagai simbol kemenangan dan penghormatan.
Seiring perubahan zaman, hadiah pemenang berkembang untuk merangkumi barang-barang bernilai seperti kaki tripods yang diperbuat daripada gangsa dan labu amphorae yang dibentuk daripada bahan seramik, mencerminkan kemasyhuran pemenang.
Penganugerahan pingat dalam Olimpik moden
Tradisi memberikan pingat kepada pemenang dalam sukan zaman moden bermula dengan penganjuran Sukan Olimpik moden pertama di Athens, Greece, pada tahun 1896.
Bagaimanapun berbeza dengan sistem emas, perak dan gangsa yang kita amalkan sekarang, dalam temasya sukan tersebut pemenang tempat pertama dihadiahkan dengan pingat perak dan pemenang tempat kedua pula diberikan pingat sama ada diperbuat daripada campuran tembaga dan gangsa.
Tidak ada pingat diberikan kepada pemenang tempat ketiga.
8 tahun berikutnya dalam penganjuran sukan Olimpik tahun 1904 di St. Louis, Amerika Syarikat – Jawatankuasa Olimpik memilih untuk menaik taraf pingat pemenang dengan menjadikan pingat emas sebagai hadiah pemenang pertama, perak untuk kedua dan gangsa untuk yang ketiga.
Keputusan untuk menggunakan emas, perak, dan gangsa dibuat bagi membolehkan setiap pingat benar-benar mencerminkan pencapaian atlet selain menjalinkan kedudukan pemenang sebagai simbolik kepada nilai dan sejarah logam-logam ini.
Pingat emas yang diperbuat daripada emas tulen terus kekal dihadiahkan kepada atlet, sebelum ditukar untuk temasya Olimpik di Stockholm, Sweden.
Dalam kejohanan tersebut, semua pemenang pingat emas ‘hanya’ menerima pingat yang diperbuat daripada perak dan disaluti dengan 6g emas. Rekaan pingat emas ini kekal digunapakai sehingga ke hari ini.
Mengenalpasti Pencapaian
Tradisi penganugerahan pingat emas, perak, dan gangsa tidak dapat dinafi memang memudahkan kita secara praktikal untuk membezakan pemenang tempat pertama, kedua, dan ketiga dalam sesuatu acara.
Pingat-pingat ini berfungsi sebagai bahasa sukan yang universal, melampaui sempadan budaya dan bahasa, memungkinkan pemahaman mudah walaupun kita datang daripada latar belakang yang berbeza dalam meraikan pencapaian atlet.
Tetapi satu simbol yang jarang diceritakan berkenaan penggunaan emas, perak dan gangsa ini sebenarnya turut berkait dengan sebuah legenda masyarakat Greece serta ramalan mereka berkenaan masa depan tamadun manusia.
Pingat emas, perak, dan gangsa boleh ditafsirkan berkait dengan tiga Zaman Manusia dalam mitologi Yunani, yang secara keseluruhannya ada lima. Lima zaman ini dirujuk kepada logam yang berbeza.
Zaman emas dalam mitologi Greek, adalah zaman yang didakwa manusia hidup dalam keadaan bahagia, harmoni dan aman tanpa perlu manusia bekerja keras. Zaman ini dikaitkan dengan emas, yang melambangkan kecantikan dan kesempurnaa
Zaman perak berlaku selepas zaman emas, dikenalpasti sebagai era di mana bermulanya penurunan kualiti hidup di kalangan tamadun manusia. Manusia dalam zaman ini masih hidup sebagai bangsawan dan menjaga akhlak serta berbudi pekerti, tetapi tidak sebaik manusia sebelumnya.
Zaman gangsa menyaksikan kualiti tamadun manusia menjunam dengan lebih teruk, digambarkan suka berperang dan tidak lagi menghormati satu sama lain. Gangsa menjadi identiti zaman ini kerana peralatan dan pakaian perang manusia, biasanya ditempa daripada logam tersebut.
Walaupun hubungan antara logam yang membentuk pingat dan hikayat zaman manusia dalam mitologi Greek tidaklah sahih, ia adalah satu hubungan yang menarik menambah penceritaan dan nilai simbolik di sebalik warna pingat yang dihadiahkan.
Benar atau tidak, seluruh dunia seolah-olah senang mengadaptasi sistem yang dicipta oleh masyarakat barat ini kerana memudahkan kita mengenali pemenang di kalangan mereka yang terbaik di dunia dalam bidang sukan.
Baca juga: Netizen pelik Ira Kazar dah tak kongsi resipi baru, “mana dia hilang?”