Masyarakat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang iklan tawaran lesen memandu percuma yang diiklan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihaknya menerima laporan berkaitan iklan bantuan lesen memandu percuma kepada semua golongan yang diiklan melalui aplikasi tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, ia dilakukan sindiket penipuan yang dikesan membuat iklan dengan menyalahgunakan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menarik perhatian mempromosi lesen memandu percuma yang boleh didaftarkan, melalui pautan https://www.motif.my/bantuan-lesen/.
Katanya, iklan itu turut mempelawa orang ramai menyertai ‘group whatsapp’ di pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan, untuk memperdaya lebih ramai mangsa.
“JPJ ingin memaklumkan bahawa iklan itu palsu dan memandang serius terhadap sindiket penipuan yang menawarkan lesen percuma ini.
“Siasatan lanjut akan dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” maklum kenyataan itu.
JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan, bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.
Baca Juga: Mayat nelayan ditemui tersangkut pada enjin bot
Baca Juga: Pemakaian pelitup muka ketika naik kapal terbang tak wajib