Bahaya ‘rasa berduit’ tapi tidak berduit, benda ini dapat kawal nafsu boros

  • Post author:

Ramai orang mengeluh tidak cukup duit tetapi dalam masa sama ‘rasa berduit’ atau boros apabila dapat gaji mahupun mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jika diimbas balik, berapa banyak duit yang kita dapat sebelahkan untuk simpanan sejak 2020 selepas empat skim pengeluaran khas KWSP membabitkan i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan awal tahun ini?

Jika tiada, anda patut berwaspada dan segera menarik brek nafsu boros atau ‘rasa berduit’ dengan mengamalkan simpanan emas.

Ikuti perkongsian MOHD SHAIPUDDIN mengenai keberkesanan emas dalam mengawal nafsu boros dan nafsu ‘rasa berduit’:

“Inilah pengalaman saya (malah kebanyakan penyimpan emas yang lain) selama menyimpan emas iaitu rasa tidak berduit walaupun hakikatnya emas simpanan itu juga adalah duit!

Berduit itu memang penting, tapi ‘rasa berduit’ itu berbahaya terutama jika kita tidak berduit, tapi tetap rasa berduit.

Apabila kita rasa berduit, kita akan sentiasa berfikir untuk berbelanja, menghabiskan duit yang ada tanpa mengira ianya adalah kehendak atau keperluan.

Lihat sahaja situasi apabila kita menerima duit bonus. Duit bonus belum terima, tapi kita sudah panjang akal nak beli itu ini serta nak bercuti sana-sini.

Lebih hebat apabila perancangan itu semua sudah dirancang tiga bulan lebih awal dan penyudahnya duit bonus kita lesap entah ke mana.

Bagi yang memang berduit pula, rasa berduit menyebabkan simpanan mereka mudah bocor dan terus bocor hingga menyebabkan kekayaan tidak bertambah, apatah lagi berkembang.

Apabila kita menyimpan emas, kita akan hilang rasa ‘berduit’. Ramai penyimpan emas rasa diri mereka tidak berduit.

Padahal, hakikatnya kalau dijual kesemua emas dalam simpanan, nilai duit yang boleh diperolehi adalah agak besar jumlahnya.

Sedar tak sedar, jumlah emas yang disimpan semakin bertambah dari bulan ke bulan, tahun ke tahun kerana keberkesanan emas dalam mengawal nafsu boros dan nafsu rasa berduit ini.”

Baca juga Pemanasan global bukan main-main, ais kian cair, Eropah dilanda kemarau terburuk dalam lima abad

Baca juga Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia