Banjir: 96 PPS sedia diaktif di KL dan Putrajaya

  • Post author:

Sebanyak 96 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih 22,000 mangsa banjir di sekitar ibu negara dan Putrajaya, sedia diaktifkan.

Ia adalah sebagai persiapan menghadapi bencana itu sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia merupakan sebahagian daripada 6,010 PPS di seluruh negara yang berupaya menempatkan lebih 1.6 juta orang yang sedia dibuka pada musim banjir.

“JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran di PPS.

“Dalam soal penyediaan makanan, penggunaan makanan bungkusan ‘retort’ digunakan di PPS sebagai persediaan awal bagi menjamin mutu dan kesegaran serta memastikan sifar bakteria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS, di Sentul, hari ini.

Dalam program yang diadakan di Pusat Komuniti Sentul itu, seramai 250 peserta menyertainya sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Mereka terdiri daripada warga kerja JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perwakilan Penduduk.

Baca Juga: KPDNHEP kesan kad NFC Touch ‘n Go dijual lebih lima kali ganda

Baca Juga: Sibuk berkhemah di bawah pokok, pasangan kekasih disambar petir