Bayi lima bulan terselamat dalam kejadian runtuhan bangunan

  • Post author:

Seorang bayi berusia lima bulan merupakan mangsa terbaharu yang terselamat dan berjaya dikeluarkan dalam insiden runtuhan bangunan di Amman, Jordan.

Memetik laporan media, perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber hospital di sana.

Sekurang-kurangnya 25 mangsa berada di bangunan kediaman usang di daerah Webdeh, di ibu negara Jordan itu apabila ianya runtuh kelmarin.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan semalam, sembilan mangsa disahkan maut setakat ini dan anggota penyelamat pertahanan awam bekerja sepanjang malam untuk mengalihkan bumbung konkrit yang runtuh dan mengangkat serpihan untuk mangsa yang terselamat.

Sumber hospital memberitahu, puluhan mangsa sudah dikeluarkan setakat ini, dengan beberapa mangsa mengalami kecederaan serius.

Sebelum ini pihak kerajaan memberitahu, mereka percaya sekurang-kurangnya sepuluh orang masih berada di bawah runtuhan dan ada yang masih bernyawa.

Ketua Pertahanan Awam, Hatem Jaber pula memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga tiada lagi harapan untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat.

Operasi itu disertai lebih 350 penyelamat dan turut menggunakan khidmat dron serta anjing polis.

Baca Juga: Bangunan asrama tahfiz terbakar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Baca Juga: Tun S Samy Vellu meninggal dunia di kediaman pagi ini