Bekalan telur terjejas kerana dieksport ke luar negara

  • Post author:

Isu kekurangan bekalan telur ayam kini menjadi topik hangat yang diperkatakan dalam kalangan masyarakat.

Justeru, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memberi amaran keras kepada semua pengeluar telur untuk memastikan pengeluaran bagi kegunaan domestik dipertingkat.

Katanya, ia bagi memastikan keberadaan bekalan makanan itu dalam pasaran negara.

Ketika turun padang melihat bekalan barangan di pasar raya Segi Fresh di Batu Caves semalam, beliau berkata, bekalan telur berkurangan dan perkara itu juga diakui pemilik pasar raya yang menyatakan bekalan sukar diperoleh.

“Ia berikutan tindakan pengeluar mengeksport telur gred kawalan iaitu gred A, B dan C, sekali gus menyebabkan bekalan telur domestik berkurangan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjalankan tanggungjawabnya dalam menyediakan dan menaikkan subsidi kepada penternak dari tiga sen sebiji kepada lapan sen sebiji disebabkan kos pengeluaran meningkat, yang memberi kesan kepada pengeluaran telur gred A, B dan C.

“Subsidi yang diberi kepada penternak bertujuan memastikan harga kepada pengguna kekal pada harga siling yang ditetapkan kerajaan untuk telur gred A, B dan C,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook rasminya.

Walaupun penyaluran subsidi, urusan pengeluaran dan bekalan telur tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Alexander berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MAFI dan agensi terbabit bagi memastikan kebajikan pengguna dijaga.

Katanya, pengeluar perlu berintegriti dan menunaikan tanggungjawab seperti dipersetujui dalam beberapa siri perbincangan selepas subsidi tambahan diberi.

Baca Juga: Jangan rasa ‘bebas’ sangat – Individu belum dijangkiti Covid-19 berisiko tinggi dijangkiti varian cepat bermutasi, paling kebal

Baca Juga: Dapat merasa duduk lokap 7 jam, Zed Zaidi menang kes sebar berita palsu