Sehingga kini masih belum ditemui lagi ubat yang mampu menghapuskan virus HIV daripada badan manusia, namun pesakit HIV boleh dirawat.
Ketua Jururawat Kaunseling HIV/ AIDS, Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nik Mohd Irwan Nik Pa berkata, pesakit boleh kembali menjalani hidup normal termasuk berkahwin dan mendapat zuriat melalui rawatan antiretroviral (HAART).
Jelasnya, sikap yang konsisten dan kepatuhan terhadap rawatan dijadualkan akan dapat meminimumkan jumlah virus yang berada dalam badan pesakit HIV.
Selanjutnya, kata beliau, rawatan HAART mampu menjadikan aras virus tidak boleh dikesan lagi.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menetapkan bahawa virus yang tidak boleh dikesan serta tidak boleh dipindahkan kepada orang lain dianggap memberi lembaran baharu kepada pesakit.
“Mereka sudah bebas daripada penyakit HIV dan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa iaitu berkahwin dan mendapat zuriat,” katanya dipetik BH.
Nik Mohd Irwan memberitahu pesakit HIV boleh mendapatkan rawatan HAART di mana-mana di klinik atau hospital kerajaan secara percuma bermula dengan melakukan ujian saringan, rawatan susulan serta mendapatkan khidmat kaunselor yang dilantik untuk membantu pesakit-pesakit HIV.
“Saya juga ingin menasihati kepada semua pesakit supaya membuat rawatan awal bagi mengelak jangkitan merebak kepada pasangan atau orang lain selain mendapat komplikasi yang lebih teruk lagi,” nasihatnya.
Hal sama juga ditekankan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus dan disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian malam tadi.
Katanya, pesakit HIV yang menerima rawatan HAART boleh hidup sihat sehinggakan tiada sebarang virus HIV dikesan dalam darah dan tidak akan menjangkiti orang lain jika mereka berhubungan seks.
Kebanyakan pesakit HIV, ujarnya, menafikan mereka masih terlibat dengan hubungan seks bebas setelah disahkan dijangkiti virus itu.
“Namun ada juga (pesakit) yang anggap itu cara hidup (seks bebas) mereka dan mereka bangga sebagai gay,” katanya lagi.
Baca juga Tak tahan dengar lagu ‘Baby Shark’ berjam-jam, banduan maut dalam penjara
Baca juga Doktor hospital swasta tak peka hak, sensitiviti penghidap HIV, dakwa pesakit