Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar bendera Selangor dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula Sabtu ini.
Ia adalah sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II yang menghembus nafas terakhir pada 9 September lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Sultan Selangor telah berkenan agar bendera Negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula Sabtu sehingga Isnin bagi menzahirkan hubungan baik baginda dengan Ratu Elizabeth II.
“Titah itu juga adalah sebagai tanda menghormati kemangkatan baginda Ratu di Istana Balmoral selepas 70 tahun menaiki takhta dan adalah monarki paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom.
“Selaras titah itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat semalam menjunjung titah dan mengarahkan semua Jabatan dan agensi di Selangor mengibarkan bendera Negeri separuh tiang atas perkenan baginda Sultan Sharafuddin,” katanya.
Ratu Elizabeth atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17 Bruton St, London, pada 21 April 1926 dan mangkat pada usia 96 tahun.
Baca Juga: Harga RON turun lima sen, RON95, diesel kekal
Baca Juga: Bayi lima bulan terselamat dalam kejadian runtuhan bangunan