Terima jemputan melalui WhatsApp, 22 individu ditahan dalam pesta liar yang diadakan di sebuah banglo tiga tingkat di Batu Feringghi, Pulau Pinang, Khamis lalu. Mereka ditahan dalam serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 1.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun membabitkan seramai 14 lelaki dan lapan wanita. Dua paket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram dan tiga pil ekstasi (1.6g) turut ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.
Baru 19 tahun dah anjur pesta liar
“Daripada 22 individu yang ditahan, enam daripadanya adalah remaja bawah umur dan seorang masih bersekolah.
“Siasatan awal mendapati parti liar itu dianjurkan lelaki tempatan berusia 19 tahun yang menyewa banglo berkenaan pada harga RM1,000 sehari.
“Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan setakat ini mereka mengakui ia kali pertama parti itu dianjurkan namun kita percaya sudah ada sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.
Pengunjung wanita masuk percuma
Pengunjung lelaki dikenakan bayaran sebanyak RM80 hingga RM100 namun buat pengunjung wanita mereka boleh memasuki pesta tersebut secara percuma. Ujian saringan air kencing mendapati seramai enam individu positif dadah.
“Enam individu ini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari sehingga 18 Oktober bagi siasatan lanjut.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama,” katanya lagi.
Baca Juga: Pemuda ini ‘cuba’ jadi mayat, tiba-tiba tanah timbus dia
Baca Juga: Ibu bapa, warga pendidik sokong petisyen tuntut keadilan untuk Cikgu Fadli Salleh