Biasanya kita akan jumpa buaya di sungai atau zoo, tetapi kali ini lokasinya berbeza iaitu di dalam longkang.
Penemuan buaya itu menggemparkan penduduk, apatah lagi ia dijumpai di dalam longkang di kawasan taman permainan Taman Serambi, Kuching, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kehadiran buaya sepanjang kira-kira tiga meter itu disedari penduduk sebelum memaklumkan kepada bomba.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dihantar ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 10.16 pagi.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan terdapat seekor buaya berada di dalam longkang di taman permainan berkenaan.
“Anggota bomba berjaya mengikat mulut buaya itu bagi mengelak risiko tindakan agresif reptilia berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, buaya jantan itu diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya lagi, ia dipercayai datang dari sungai berdekatan dan tersesat sehingga ke taman permainan di kawasan perumahan itu.
Baca Juga: Tiga hari mencari, akhirnya mayat nelayan dijumpai
Baca Juga: Jeans Levi’s dilelong dengan harga RM410,000