Bukan biasa-biasa ni, pencuri larikan 5 kereta mewah hanya dalam tempoh seminit

  • Post author:

Umpama lipas kudung! Sekumpulan pencuri berjaya melarikan lima buah kereta mewah hanya dalam masa seminit!

Kegiatan tidak bermoral itu dirakam  televisyen litar tertutup (CCTV) pada 11 November lalu di sebuah premis industri di Essex, England pada pukul 4.45 pagi (waktu tempatan).

Akhbar The Sun melaporkan, sekumpulan pencuri pada awalnya dilihat membuka pagar untuk mengambil sebuah kereta Ariel Atom yang jarang ditemui serta mempunyai harga permulaan sekitar £60,000 (RM320,689).

Ia diikuti dengan Mercedes G-Wagon yang berharga  £120,275 (RM642,847) dan sebuah Porsche Cayenne.

Kumpulan penjenayah itu meneruskan kegiatan mereka dengan melarikan sebuah Porsche 911 Carrera yang berharga sekitar £89,800 (RM479,964) dan diakhiri dengan Mercedes Maybach yang mempunyai harga permulaan £150,000 (RM801,589).

Pada pengakhiran video tersebut, salah seorang pencuri melompat masuk ke dalam sebuah kereta Mercedes AMG yang sedang menanti di luar pagar.

Menurut laporan, polis Essex mengesahkan salah sebuah kereta yang dicuri, Mercedes Maybach telah ditemui namun, empat kenderaan lain masih hilang.

Polis berkata, kumpulan pencuri itu memotong selak kunci di pagar hadapan sebelum memasuki pekarangan premis tersebut.

“Pegawai polis dikerahkan ke sebuah unit industri di Brentwood Road, Bulphan selepas waktu tengah malam pada 11 November lalu susulan laporan diterima mengenai kecurian lima kereta mewah.

“Suspek-suspek memasuki pekarangan premis dengan memotong selak kunci pada pagar hadapan sebelum melarikan lima kenderaan yang mempunyai nilai dianggarkan melebihi £700,000 (RM3.7 juta).

“Kami memohon kepada sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut, memiliki CCTV atau rakaman papan pemuka termasuk maklumat mengenai kereta yang dicuri agar segera melaporkannya kepada polis,” kata polis.

Baca Juga:

Baca Juga: