Buruh kimpal gagal seludup PATI, kereta dipandu terbabas

  • Post author:

Cubaan buruh kimpal menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar dengan menggunakan sebuah kereta gagal apabila kenderaan itu terbabas di Kilometer 5 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 6 petang dan pemandu kereta berusia 31 tahun yang juga seorang lelaki, ditahan bersama tiga lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia antara 16 hingga 42 tahun.

Kereta berkenaan terbabas selepas dikejar polis sejauh 15 kilometer.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek terbabit dipercayai mengambil Pati dari Rantau Panjang untuk dihantar ke Bentong, Pahang.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek juga menjumpai pil yang dipercayai Yaba dan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Baca Juga: Pelik tapi benar, lelaki masak ayam guna mesin pembancuh kopi

Baca Juga: VIDEO] Mainan anak dikatakan ‘berhantu’, wanita nekad buang patung itu