Bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo menjadi individu pertama di dunia yang memiliki seramai 500 juta pengikut di laman Instagram.
Akhbar The Sun melaporkan, penyerang Manchester United itu mencatatkan bilangan pengikut Instagram kurang sedikit daripada 500 juta sebelum dia ditemu bual oleh pengacara TalkTV, Piers Morgan.
Kejayaan terbaharu itu muncul selepas Ronaldo memuat naik sekeping gambar sudah disunting memaparkan dirinya dan seorang lagi bintang bola sepak, Lionel Messi sedang bermain catur dengan kerjasama Louis Vuitton.
Hantaran tersebut mendapat lebih 36 juta tanda suka dalam masa hanya sehari.
Morgan merakamkan ucapan tahniah buat Ronaldo dan dalam masa sama, mengingatkan peminat Ronaldo bahawa Messi merupakan pesaing terdekat bintang tersebut dengan kekurangan lebih 100 juta pengikut.
“Berita terkini, Cristiano Ronaldo menjadi individu pertama yang mencapai 500 juta pengikut Instagram, 124 juta lebih ramai berbanding pesaing terdekatnya, Lionel Messi yang berada di tempat kedua. Tahniah Cristiano,” ucap Morgan.
Sementara itu, pelakon Dwayne Johnson (The Rock) berada di tempat kelima dengan bekas bintang WWE itu memiliki 348 juta pengikut.
Selebriti, Kylie Jenner pula berada di tempat ketiga dan diikuti penyanyi, Selena Gomez di tempat keempat.
Baca Juga: Kerusi PM 10 masih kosong, Anwar sahkan belum ada keputusan daripada Agong