Apabila menunggang motosikal, satu kesilapan mampu menyebabkan nyawa melayang. Hanya disebabkan mahu memotong motor di hadapan mereka, sepasang suami isteri maut selepas motor yang dinaiki terbabas dan dilanggar dari arah depan.
Kejadian berlaku di Kilometer 16, Jalan Bentong ke Raub lebih kurang pukul 5 pagi semalam. Pasangan yang baru berusia 26 tahun itu maut di tempat kejadian setelah motosikal dinaiki terbabas lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan polis mendapati mangsa bersama rakannya yang lain menunggang dua buah motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis perkahwinan di Lurah Bilut.
“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal pasangan itu cuba memotong motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Motosikal pasangan itu kemudiannya bertembung di bahagian sisi dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 49 tahun dari Johor memandu ke arah Raub,” katanya.
Menurut Zaiham, pasangan suami isteri terbabit disahkan maut oleh petugas perubatan di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan lapor Utusan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Baca Juga: “Dia pemegang saham terbesar!”, netizen berseloroh lepas tengok ‘lokasi’ kucing ni terlelap