Mimpi ini hanyalah mainan tidur dan tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Namun lelaki dari Planaltina, Brazil ini sanggup menikam isterinya yang sedang tidur hanya kerana isterinya curang dalam mimpinya.
Lelaki yang berusia 37 tahun itu menikam di bahagian leher, tulang selangka dan tangan di kediaman mereka. Walaupun sudah 13 tahun hidup bersama, lelaki tersebut lebih mempercayai mimpi daripada isterinya lapor Mirror UK.
Insiden tersebut berlaku pada 9 Ogos lalu, dan suspek melarikan diri sebelum ditahan lima minggu kemudian. Polis juga melaporkan yang pasangan terbabit bertengkar di tengah malam mengenai mimpi suspek.
Suspek yang identitinya tidak didedahkan oleh polis, mengambil sebilah pisau dan dikatakan mengugut mangsa ketika bertanya tentang mimpinya.
Mangsa yang juga kepada empat orang anak itu menafikan sebarang salah laku dan meyakinkannya bahawa itu hanyalah khayalan lelaki berkenaan.
Menyangka perkara tersebut selesai, mangsa kembali menyambung tidur, namun suspek dipercayai masih teringat-ingat akan mimpinya hingga menimbulkan rasa marah.
Lelaki itu kemudiannya mengambil pisau dan menikam badan mangsa berulang kali. Isterinya bernasib baik kerana berjaya melarikan diri daripada serangan itu dan dibawa ke hospital oleh jiran-jiran.
“Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan isterinya kerana menganggap mimpinya sebagai petunjuk sebelum mengambil pisau dan menikam mangsa.
“Wanita itu sempat melarikan diri dan sedang dirawat di sebuah hospital perbandaran,” kata ketua polis tempatan, Thiago Cesar.
César berkata, lelaki itu mengaku melakukan jenayah itu dan dia mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini berdepan pertuduhan cubaan membunuh.
Baca Juga: KASA pasang 526 siren amaran awal banjir
Baca Juga: Bella nampak ceria hadir ke mahkamah pakai baju Elsa