Dakwa makanan dimasak kotor, CCTV restoran ini ‘kantoikan’ taktik wanita yang ingin makan percuma

  • Post author:

Gara-gara ingin mendapatkan makanan percuma di sebuah restoran, seorang wanita nekad menggunakan taktik kotor bagi melepaskan diri dari membayar makanan yang dipesannya.

Menurut Daily Mail, kejadian dilaporkan berlaku di restoran kari popular di Milton Keynes, England.

Dilaporkan, wanita berkenaan bersama keluarganya telah memesan lapan set hidangan termasuk ayam tandoori dan kambing bakar, serta empat minuman.

Keseluruhan makanan yang licin dimakan itu berharga lebih 170 pound (RM905.23).

Bagaimanapun ketika bil tiba, dia membuat kecoh dan memarahi pelayan kononnya terdapat plastik di dalam makanan mereka sebelum terus keluar dari restoran itu tanpa membayar walaupun ditawarkan diskaun 20 peratus.

Daripada rakaman litar tertutup (CCTV) di premis itu, wanita berkenaan dilihat membetulkan baju dalamnya sejurus selepas menghabiskan hidangan pertama.

Dia kemudian mengeluarkan kotak rokok dari baju dalamnya dan mengoyakkan cebisan plastik pembalut kotak itu dan meletakkannya di dalam pinggan sebelum menyambung menikmati hidangan di pinggan sama. 11

Pemilik restoran dikenali sebagai Naseem kemudian mendapati wanita berkenaan sebenarnya sengaja menggunakan helah untuk makan percuma.

Naseem berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kes itu selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya yang jelas merakam perbuatan wanita itu.