DASH akan dibuka dalam masa terdekat

  • Post author:

Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) sejauh 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana ke Penchala akan dibuka dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pembukaan lebuh raya itu akan dijalankan serentak dalam satu fasa.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya berkenaan dijangka akan mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana ke Penchala sehingga 30 minit daripada 90 minit, penjimatan 60 minit berbanding melalui laluan sedia ada.

“Pembinaan lebuh raya ini juga mampu mengurangkan kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39 peratus, Jalan Sungai Buloh (33 peratus) dan Persiaran Surian (43 peratus).

“Selain itu, lebuh raya DASH juga boleh menjadi laluan alternatif untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Taklimat Mengenai Perkembangan Projek Lebuh raya DASH.

Menurut Mohammad Azlan lagi, lebuh raya itu turut menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang.

“Pembinaan lebuh raya ini menjadi penyelesaian penyuraian trafik untuk beberapa kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan sepanjang Shah Alam ke Damansara.

“Lebuh raya DASH turut mempunyai tiga plaza tol iaitu di Denai Alam, RRIM (Kwasa Damansara) dan Kota Damansara lengkap dengan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF),” katanya lagi.

Baca Juga: Wanita pilih tak kahwin sebab nak sambung belajar, lelaki pula takut kos sara hidup tinggi

Baca Juga: Nak sangat PRU masa banjir, UMNO sanggup ajar ahli berenang