Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menyediakan surau bergerak dengan mengubah suai satu unit pejabat bergeraknya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, surau bergerak menggunakan lori seberat 10 tan itu, dilengkapi dengan penghawa dingin serta tempat wuduk dengan kapasiti tangki air 900 liter yang mampu menampung keperluan 600 jemaah.
“Pada satu-satu masa, surau bergerak ini boleh memuatkan 10 jemaah lelaki dan wanita sementara 20 jemaah lelaki lagi bagi ruang solat di bahagian luar lori.
“Kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada pengunjung melibatkan program ad hoc seperti maraton dan sambutan Hari Kebangsaan.
“Surau bergerak ini boleh diparkir di kawasan tumpuan orang ramai seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ditutup kepada kenderaan pada setiap Ahad,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancarannya hari ini.
Dalam majlis sama juga dilancarkan kenderaan baharu bagi Skuad Penyelamat DBKL iaitu Rapid Response Vehicle (RRV), dilengkapi peralatan kecemasan seperti mesin pemotong besi, gergaji dan pakaian anti lebah.
Ia akan digunakan untuk memberi bantuan kecemasan bencana alam apabila terdapat pokok tumbang atau objek yang menghalang laluan awam selain menangani masalah gangguan binatang liar dan berbisa seperti ular, lebah dan tebuan.
Baca Juga: Lepas menang kes fitnah bekas isteri, Johnny Depp dilamun cinta dengan peguam sendiri