Demi PRU15, 7,700 anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersiap sedia

Tidak hanya rakyat yang perlu bersedia untuk mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),  7,700 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur juga bersiap sedia untuk digerakkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, 288 pusat mengundi di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditempatkan anggota polis bagi menjaga kawalan sepenuhnya lapor Kosmo.

Tindakan lanjut seperti pembekuan cuti kesemua mereka setakat ini masih belum dikeluarkan memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum bersidang mendapatkan tarikh mengundi.

“Polis Kuala Lumpur mempunyai kekuatan lebih kurang 8,700. Sebanyak 7,700 pegawai dan anggota akan ditugaskan secara aktif ketika PRU manakala selebihnya akan ditugaskan dalam tugas-tugas am polis termasuk di kaunter dan lokap di setiap balai.

“Kita masih berhubung dengan Bukit Aman untuk membincangkan beberapa isu seandainya memerlukan bantuan sokongan daripada mereka,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK ) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tidak hanya bersedia untuk PRU, kekuatan yang sama juga akan digunakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir dalam tempoh berkenaan..

“Kebiasaannya, di KL dan Putrajaya banjir kilat yang berlaku. Justeru itu, tugas kita adalah untuk menentukan agar mangsa banjir tidak terperangkap.

“Kita akan dapatkan bantuan jabatan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi memastikan mangsa banjir diselamatkan,” jelasnya.

Baca Juga: “Dia tak ada kerja” – Musa balas sindiran Sanusi, jangan sibuk hal politik Pulau Pinang

Baca Juga: Belanjawan 2023 yang tidak sempat dibahas akan dibentang semula sebelum akhir tahun