Pengusaha stesen minyak di negara ini diberi amaran tegas agar tidak menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata langkah itu diambil bertujuan melindungi hak rakyat kerana petrol bersubsidi disediakan untuk masyarakat di negara ini.
“Jadi, saya minta operator atau pemilik stesen minyak supaya tidak menjual petrol subsidi kepada rakyat asing.
“Jika didapati bersalah, individu yang didapati membeli petrol subsidi boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun, manakala pengusaha stesen minyak boleh didenda maksimum RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di Pasaraya Lotus’s Shah Alam, hari ini.
Semalam, media melaporkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dirakam orang awam di sebuah stesen minyak di Gelang Patah, Johor, dipercayai menggunakan bantuan kenderaan tempatan untuk mengisi minyak RON95.
Video yang dimuat naik di YouTube beberapa hari lalu itu, memaparkan seorang lelaki berbaju hitam sedang mengisi minyak kenderaannya dan nozel yang dipegang adalah berwarna kuning.
Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro dilaporkan berkata, kejadian tersebut kini dalam pengetahuan pihaknya, dan siasatan terhadap kejadian itu juga sedang dijalankan.
Baca Juga: Keretapi Sarobg kembali lagi, ini cara untuk menyertai mereka
Baca Juga: Masyarakat dinasihat berhati-hati dalam memilih produk