Dera anak saudara, pasangan suami isteri mengaku tidak salah

Kes mengenai kanak-kanak yang berdiri di balkoni bongkar kegiatan jahat ibu dan bapa saudara yang mendera dia dan adiknya. Pasangan suami isteri itu mengaku tidak salah atas dua pertuduhan mendera anak saudara mereka.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Tingkat 4, Apartment Bella Vista di Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya Ampang.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh Julianah Omar, 34, dan Muhammad Asyari Mohd. Alwi, 29, di hadapan Hakim Mohd. Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen di Ampang hari ini.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak salah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara serentak terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama di antara bulan Ogos 2022 sehingga pukul 5.05 petang pada 16 September lalu menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama di antara bulan Ogos 2022 sehingga pukul 5.05 petang pada 16 September lalu menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Ini adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh berserta seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.

Tak boleh ganggu mangsa dan saksi

Kedua-dua tertuduh turut dicadangkan dikenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Peguam mewakili Julianah dan Muhammad Asyari bagaimanapun memohon ikat jamin lebih rendah antara RM7,000 hingga RM8,000 untuk kedua-dua tertuduh memandangkan Julianah tidak bekerja dan merupakan suri rumah.

Si suami tiada pendapatan tetap, si isteri mengandung lima bulan

Tertuduh yang juga bapa saudara mangsa hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan disebabkan faktor eknomomi pendapatannya agak terjejas.

Julianah pula adalah pesakit kencing manis dan gout serta mengandung lima bulan memerlukan tertuduh mendapatkan rawatan serta bekalan ubat secara berkala di hospital.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab@Lahab dan Azlinie Othman.

Mohd. Norisham menetapkan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan ke atas setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Mereka perlu mematuhi syarat tambahan oleh pihak pendakwaan selain menetapkan 3 November ini sebagai tarikh serahan dokumen.

Baca Juga: 2,560 jam tangan guna cap dagangan tidak sah, dirampas

Baca Juga: Zahid Hamidi bebas dan dilepas dari 40 pertuduhan rasuah