Tular sebelum ini mengenai penceramah selebriti yang didakwa melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki sehingga mendapat perhatian ramai. Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada bulan Februari dan Julai tahun ini.
Tertuduh, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 41 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin lapor Utusan.
Berdasarkan tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan tersebut dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu.
Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Baca Juga: Kes amang seksual pendakwah selebriti dirujuk kepada TPR
Baca Juga: 6 laporan polis diterima terhadap pendakwah selebriti, 2 di Klang, 1 di Shah Alam dan 1 di Kajang