Dihidang hanya mi kosong dengan sos ikan – Ini sebab pengetua tadika dipenjara 50 tahun

  • Post author:

Kanak-kanak di sebuah tadika di wilayah Surat Thani, Thailand dihidangkan hanya mi kosong dengan sos ikan untuk makan tengah hari.

Ekoran itu, seorang bekas pengetua tadika dijatuhkan hukuman penjara selama 50 tahun kerana didapati bersalah atas tuduhan rasuah membabitkan makanan tengahari kanak-kanak.

Somchaow Sittichen mengaku mencuri wang makanan kanak-kanak itu dan hanya menghidangkan mi kosong dengan sos ikan kepada mereka untuk hidangan tengahari, lapor thethaiger.com dipetik Utusan Malaysia.

Mahkamah mendapati Somchaow bersalah atas 77 pertuduhan rasuah yang masing-masing membawa hukuman penjara selama lima tahun.

Pada mulanya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 385 tahun ke atas bekas pengetua tadika itu.

Bagaimanapun, berdasarkan Seksyen 91 (3) kanun keseksaan, hukuman penjara sebenar Somchaow tidak boleh melebihi tempoh 50 tahun.

Di bawah undang-undang Thailand, mana-mana individu didapati bersalah atas beberapa pertuduhan jenayah yang membawa hukuman sehingga 10 tahun boleh dipenjara selama maksimum 50 tahun melainkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan jumlah wang dilesapkan oleh Somchaow atau berapa lama kanak-kanak tadika itu dihidangkan dengan makanan tengahari demikian.

Mahkamah memaklumkan Somchaow melakukan jenayah yang serius kerana kanak-kanak itu tidak mendapat nutrisi mencukupi untuk perkembangan pertumbuhan fizikal dan mental mereka.

Menurut mahkamah, tindakan bekas pengetua tadika itu memberi kesan negatif jangka panjang kepada kanak-kanak tersebut.

Baca juga Betul ke pam pelan-pelan boleh dapat minyak ekstra? Pakcik Shell buat eksperimen lagi, tak sangka ini hasilnya

Baca juga Hargai semangat dan bantuan diberi isteri, lelaki ini berjubah konvo di pusara