Doktor bidas teori minum air kosong boleh ‘cuci’ air manis dalam badan, rupanya ramai percaya

Secara umum, banyak dari kita sering memesan tambahan segelas air kosong atau air panas ketika menikmati minuman manis di luar.

Ini kerana air yang diminum terlalu manis untuk ditelan dan dengan berbuat begitu, mereka mempercayai teori bahawa air manis tidak diserap kerana sudah puas ‘dibilas’ dengan air kosong.

Namun tahukah anda, ‘teori’ mengambil air kosong selepas meminum air manis sebenarnya tidak tepat sama sekali.

Melalui perkongsian Dr. Sherlina Hilmiy, yang merupakan pemilik Klinik Dr. Sherlina, beliau memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang ‘teori’ yang mengatakan bahawa mengambil banyak air kosong dapat membantu mengurangkan risiko kencing manis.

“Katakanlah satu hari, anda minum air manis contohnya tiga kali. Dan andaikan secawan air manis itu mengandungi 10 sudu gula. Maknanya, 30 sudu gula sehari anda ambil sehari… ini contoh ya.

“Kemudian, anda minum air kosong. 30 sudu gula itu sudah diminum, ia masuk dalam perut. Kalaupun minum air kosong tiga liter, gula tak boleh ditolak.

“Sebenarnya, apa sahaja yang masuk dalam mulut, akan diserap nutriennya. Jadi tak guna sebenarnya. Saya tengok ramai yang membuat kesilapan… dia rasa ambil air manis dan kemudian air kosong, dia tak ada masalah.

“Tapi tengok-tengok apabila datang check, paras gula 19 ada.. 25 pun ada. Ada pesakit tu kata dia minum air kosong banyak, air manis kurang… salah ya,” ujarnya.

Dr. Sherlina menyarankan untuk mengawal pengambilan minuman manis, seperti dua kali seminggu, yang bermaksud pola pengambilan tersebut hanya lapan kali dalam sebulan.

Selain itu, terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan seperti yang dikongsi oleh portal Hellodoktor ini:

1) Menggantikan gula putih dengan stevia atau gula perang

2) Melakukan banyak aktiviti fizikal agar tubuh lebih aktif

3) Mengambil makanan yang kaya dengan sumber serat agar membantu perut berasa kenyang lebih lama

4) Mengambil sumber makanan bijirin penuh seperti roti wholemeal atau bijirin sarapan

5) Amalkan diet atau pemakanan yang rendah kandungan karbohidrat

6) Banyakkan mengambil sumber protein dan sayur-sayuran dalam pemakanan

Baca juga: Poster kemerdekaan julang pejuang komunis undang berang netizen, tak sangka rupanya direka oleh guru ini