Bagi memudahkan urusan pengundi yang positif Covid-19, Kementerian Kesihatan menempatkan dua petugas kesihatan di setiap pusat mengundi seluruh negara.
Menterinya, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, bagi pusat mengundi yang jumlah pengundinya kecil, hanya seorang petugas kesihatan ditempatkan lapor Utusan.
“Setiap pusat mengundi sekurang-kurangnya ada dua orang petugas dan yang kecil pula seorang petugas,” katanya.
Sebelum ini, Khairy memaklumkan semua pengundi Covid-19 perlu memberitahu keadaan mereka kepada petugas kesihatan yang ditempatkan di pusat mengundi sebelum diiringi ke bilik mengundi.
Sementara itu Khairy turut memaklumkan, sehingga pukul 12.30 tengah hari, seramai 10 individu positif Covid-19 telah hadir mengundi di SK Seksyen 7, Kota Damansara.
Katanya, pegawai kesihatan yang ditugaskan memaklumkan bahawa semua pengundi positif Covid-19 mengisytiharkan diri mereka sebelum diiring petugas kesihatan ke bilik mengundi.
“Semuanya berjalan lancar, mereka yang positif memperkenal diri dan menunjukkan MySejahtera sebelum dibawa masuk mengundi dan selepas itu mereka terus balik,” katanya.
Baca Juga: Pengundi muda ikut pilihan ibu bapa, tak tahu mana yang perlu diundi
Baca Juga: Petugas SPR boleh senyum, Hadi Awang pakai vest logo parti ketika mengundi