Eksport ayam hidup pedaging dibenarkan semula mulai esok

  • Post author:

Kerajaan membenarkan semula aktiviti mengeksport ayam hidup pedaging secara berfasa mulai esok.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ia diputuskan selepas jemaah menteri bersetuju sekatan eksport ayam hidup pedaging dilonggarkan secara berperingkat.

Beliau berkata, sebagai permulaan, sebanyak 50 peratus atau 1.8 juta ekor ayam dieksport sebulan berbanding keseluruhan sekatan eksport ayam 3.6 juta ekor ayam sebulan.

“Keputusan ini diambil berikutan bekalan ayam di pasaran tempatan mulai stabil pada suku tahun ketiga dengan kadar purata lebihan pengeluaran 1.8 juta ekor sebulan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) akan terus memantau bekalan ayam dalam negara serta eksport ayam hidup pedaging membabitkan hampir 100 ladang pengeksport melalui mekanisme pemantauan yang dibangunkan.

“Setiap ladang diberi had kuantiti eksport berdasarkan data perancangan yang dikemukakan dan berlandaskan unjuran pengeluaran ayam bulanan yang perlu dipatuhi.

“Sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap arahan diberikan, kebenaran eksport ladang terbabit akan digantung,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mulai 1 Jun lalu, kerajaan mengambil langkah intervensi menyekat pengeksportan ayam selepas berlaku kekurangan bekalan yang menyebabkan harga produk itu naik.

Bagaimanapun, pada 4 Ogos lalu, Ronald dilaporkan berkata, sekatan pengeksportan ayam pedaging hidup hanya bersifat sementara sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sepenuhnya.

Baca Juga: Polis minta saksi kemalangan 3 kenderaan tampil bantu siasatan

Baca Juga: Tinggal dengan pesakit mental, pasangan ini cipta keunikan