Empat dapur hotel diarah tutup berikutan faktor kebersihan

  • Post author:

Kebersihan merupakan perkara yang menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat, demi memastikan persekitaran bersih dan sedap mata memandang.

Namun, dilaporkan sebanyak empat restoran atau dapur hotel termasuk sebuah hotel empat bintang di Melaka, diarah tutup sementara kerana didapati kotor.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, dalam Op Hotel pada Selasa dan Rabu lalu itu, pihaknya mengesan pembiakan lipas dan najis tikus di bawah kabinet dapur premis berkenaan dan arahan penutupan selama 17 hari bermula Selasa dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, 14 kompaun bernilai RM10,400 turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas pelbagai kesalahan termasuk pekerja tiada suntikan antitifoid, tiada kursus pengendali makanan serta tidak memakai apron dan penutup kepala.

Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, tahap kebersihan empat daripada restoran atau dapur hotel yang diperiksa didapati tidak memuaskan dan arahan penutupan telah dikeluarkan bagi kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak hotel terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, lapan hotel didapati mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik dan sembilan kompaun bernilai RM4,500 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Katanya, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bersama Unit Inspektorat dan Perundangan akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis makanan dan minuman, khususnya hotel di negeri ini, bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan akta lain yang dikuatkuasakan di bawah jabatan itu.

Dr Rusdi berkata, Jabatan Kesihatan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara atau perbuatan yang boleh mengancam kesihatan awam termasuk pelancong.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis, orang awam boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat atau Jabatan Kesihatan negeri,” katanya dan menambah aduan juga boleh dibuat di laman sesawang.

Baca Juga: Wanita cuba buka pintu pesawat pada ketinggian 11,000 meter, ditangkap polis

Baca Juga: Dakwa dirasuk ketika pukul, isteri dedah Afiq Muiz panas baran sebelum kahwin lagi