Fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bagi laluan sejauh 16.6 kilometer (km) bermula dari persimpangan Cheras-Kajang ke persimpangan Bukit Antarabangsa akan dibuka dalam masa terdekat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah, jajaran fasa pertama itu akan melibatkan dua plaza tol iaitu Bukit Teratai dan Ampang serta 11 persimpangan.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan 80,000 pengguna akan menggunakan laluan tersebut sebagai alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Ini sekali gus, membantu mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang MRR2 sebanyak 30 peratus, Jalan Ampang (36 peratus) dan Jalan Loke Yew (12 peratus).
“Lebuh raya ini lebih kepada memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih laluan lebih cepat, selesa, selamat dan cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat kepada media berhubung perkembangan projek SUKE, hari ini.
Menurut Mohammad Azlan, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual melancarkan fasa pertama pembukaan SUKE pada malam esok.
Dalam pada itu, Mohammad Azlan turut memaklumkan, kemajuan projek SUKE sepanjang 24.4 km bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang itu kini pada kadar 98 peratus setakat 30 Ogos lepas.
‘Baki yang belum disiapkan iaitu dari Bandar Tasik Selatan ke Taman Len Seng di Cheras dan Alam Damai akan kita cuba selesaikan pada suku pertama 2023,” ujarnya.
Tambah beliau, SUKE juga akan mempunyai 14 persimpangan iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.
“SUKE juga menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) (dalam pembinaan) akan datang,” katanya.
Pembinaan SUKE yang bermula pada 0gos 2016 membabitkan kos RM5.7 bilion, mempunyai struktur jejambat lebuh raya tertinggi (jejambat bertingkat galang kekotak bersegmen (SBG)) pada ketinggian 56.4m merentasi MRT Laluan Sungai Besi-Kajang (SBK) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).
Baca Juga: Akibat terlalu baik, gangster India tak jadi bunuh Shah Rukh Khan
Baca Juga: Lelaki paling tua di Jepun meninggal dunia pada usia 112 tahun