Padah berpakaian wanita, 20 lelaki ditahan ketika mengunjungi pusat hiburan di Jalan Sultan, malam tadi.
Kesemua mereka ditahan dalam serbuan Op Bersepadu Aktiviti Hiburan jam 10 malam yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) serta Bahagian Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam pemeriksaan itu, 62 orang iaitu 53 lelaki dan sembilan wanita berusia 19 hingga 57 tahun diperiksa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan itu dua lelaki berusia 27 tahun dan 29 tahun didapati positif dadah THC dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala, 20 lelaki berusia 22 tahun hingga 34 tahun yang berpakaian wanita dan berlagak seperti wanita dibawa balik oleh Jawi bagi siasatan mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
“Pihak polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang jelas tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Baca Juga: Anwar berhenti tidak sampai sehari bekerja, Najib dan Mahathir kemudiannya ceburi O&G
Baca Juga: PRU-15: KKM kemuka dua syor bolehkan pesakit Covid-19 mengundi