Padah ubah suai tangki minyak bot!
Tiga lelaki tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kerana mengubah suai tangki minyak bot pukat tunda kelas C.
Mereka ditahan ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan pada kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar pada 2.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan itu bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika dihampiri bot ronda Maritim yang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Kedah.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot, anggota penguat kuasa mengesan ruang asing di bawah rumah bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.
“Anggota penguat kuasa bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua tangki minyak yang diubah suai dan mengesyaki bot berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Noor Azreyanti berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 22 hingga 58 tahun itu ditahan bersama bot berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
“Kesemua yang ditahan adalah warga tempatan,” katanya.
Baca Juga: Dera kanak-kanak sampai maut, jurujual dan pembantu rumah ditahan
Baca Juga: Siar gambar bogel di OnlyFans, bekas doktor dipenjara 6 tahun