Gempa bumi gegar Sumatera Utara, dua maut, puluhan cedera dengan lebih 50 gegaran susulan

  • Post author:

Gempa bumi yang menggegarkan Sumatera Utara awal pagi tadi menyaksikan dua individu disahkan terkorban manakala 25 orang lagi cedera.

Kenyataan rasmi pihak pemerintah memaklumkan kedua-dua mangsa dengan salah seorangnya lelaki berusia 50 tahun maut akibat serangan jantung ketika dirawat di hospital.

Memetik Kompas, gempa bermagnitud 6.0 yang menggoncang Kabupaten Tapanuli Utara, Sumatera Utara kali pertama jam 2.28 pagi waktu tempatan.

Gegaran berikutnya direkodkan sebanyak tiga kali dengan pusat gempa berada di darat 15 km barat laut Tapanuli Utara, kira-kira 40km dari bandar Sibolga di wilayah Utara Sumatera.

Berpusat daerah Parmonangan, Tapanuli Utara, gempa bumi itu juga mengakibatkan sejumlah bangunan, gereja dan rumah penduduk rosak.

Beberapa tiang elektrik dan menara telekomunikasi rosak sehingga menyebabkan perkhidmatan bekalan elektrik terputus.

Pihak Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) dilapor berkata, gempa yang terjadi di kawasan terbabit merupakan gempa kerak dangkal yang bersifat destruktif.

BMKG mencatat lebih daripada 50 gempa bumi susulan dikesan di Tapanuli Utara hingga pagi tadi.

Penduduk di kawasan bencana dinasihatkan supaya berhati-hati dengan gegaran susulan dan mencari tempat selamat untuk berlindung ketika situasi itu berlaku.

Baca juga Bukan sahaja tambah aroma dalam masakan, rupanya ada 21 khasiat daun pandan yang dirahsiakan

Baca juga Adik cuba bantu selamatkan abang tapi sama maut terkena renjatan elektrik