Gen Z paling ramai gunakan TikTok berbanding Google untuk lakukan pencarian, mereka suka ciri FYP

  • Post author:

Satu kaji selidik baharu mendapati generasi Z (Gen Z) yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012 lebih cenderung melakukan carian di TikTok berbanding Google.

Hampir 40 peratus Gen Z memilih aplikasi TikTok kerana Google memaksa mereka ‘menyelak’ iklan yang kerap muncul pada beberapa keputusan pertama carian biasa.

Demikian lapor Agensi yang memetik data dalaman daripada Google yang pertama kali dilaporkan oleh akhbar TechCrunch.

Gen Z dikenali memiliki jangkauan pemerhati yang pendek, kata Adrienne Sheares iaitu perunding media sosial yang mengasaskan kumpulan tumpuan Gen Z untuk membincangkan tabiat carian mereka.

Golongan ini mahu mendapatkan maklumat dengan amat cepat dan merasakan kualiti carian di Google tidak memuaskan.

Mereka juga tidak melakukan proses saringan atau pengasingan maklumat.

Ia antara lain kerana TikTok menyediakan beberapa kaedah untuk mencari kandungan dengan cepat.

“Gen Z menggunakan beberapa kaedah dan melakukan carian seperti anda dan saya lakukan.

“Namun, mereka juga menyukai ciri For You Page (FYP) yang memaparkan keputusan carian berdasarkan kecenderungan pengguna sebelum mereka mencarinya,” katanya seperti dilapor Agensi.

FYP melibatkan melayari paparan video yang ditentukan oleh algorithma TikTok berdasarkan kecenderungan minat pengguna justeru, melakukan carian menerusi FYP lebih kepada meneroka kandungan berbanding mencari sesuatu yang spesifik.

“Jika anda kerap menggunakan TikTok, ia mengetahui agak banyak maklumat mengenai tabiat maya anda,” kata Sheares.