Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengesahkan bahawa blok parti itu menyertai secara rasmi kerajaan perpaduan pimpinan beliau.
Anwar berkata, perkara tersebut diberitahu oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kepada beliau, sekali gus kekuatan induk kerajaan perpaduan kini mencecah kekuatan dua pertiga ahli Parlimen yang merangkumi blok Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Datuk Seri Hajiji memaklumkan bahawa GRS juga secara rasmi menyertai kerajaan perpaduan. Ini bermakna kekuatan induk semalam (selepas penyertaan GPS), sekarang ada GRS yang menunjukkan kita sudah mencecah kekuatan dua pertiga ahli Parlimen.
“Ia memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian kerja-kerja kita untuk mengangkat martabat negara dan mengukuhkan ekonomi dengan membela nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas secara rasmi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri ke-10 di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Baca Juga: Hilang kaki kanan, namun lelaki ini berjaya jadi angkasawan
Baca Juga: Penghuni terkejut nampak ‘Pak Belang’ berehat santai bawah rumah