Lorong kanan digunakan sebagai laluan memotong namun sikap segelintir pemandu kenderaan berat yang menggunakan lorong kanan walaupun tahu dilarang boleh membahayakan nyawa kenderaan lain.
30 kenderaan berat yang menggunakan lorong kanan secara berterusan telah disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam operasi dijalankan di Plaza Tol Juru Arah Utara hari ini.
Operasi yang bermula jam 10 pagi semalam hingga 1 pagi tadi mengesan kenderaan berat yang menggunakan lorong kanan secara berterusan hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas lapor Harian Metro.
Pengarah JPJ negeri Adenan Md Isa, berkata susulan itu pihaknya mengeluarkan notis terhadap kesemua kenderaan berat yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.
“Mengikut undang-undang, pemandu kenderaan berat tidak boleh secara berterusan menggunakan lorong paling kanan di mana-mana lebuh raya kecuali hanya untuk memotong.
“Namun, kita dapati sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir pemandu kenderaan berat yang mereka kekal memandu di lorong kanan melebihi tiga kilometer sebelum memasuki lorong kiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, tindakan pemandu kenderaan berat itu bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain tetapi turut akan menjejaskan kelancaran aliran trafik.
Mengulas lanjut berhubung operasi yang diadakan Adenan berkata, pihaknya memeriksa sebanyak 336 kenderaan dan daripada jumlah itu sebanyak 112 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan ubahsuai kenderaan.
Baca Juga: Cegah varian Omicron, Kementerian Kesihatan masih kaji pelaksanaan vaksin untuk golongan memerlukan
Baca Juga: Kekuatan Muda sudah disaksikan di Johor, PH wajar pertimbang terima penyertaan Muda – Pemuda AMANAH