Tidak datang bekerja menjadi penyebab seorang warga Bangladesh dicari dan ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Lorong Empang Batu, Kampung Jimah Lama semalam.
Mangsa, Md Abdul, 40-an, ditemukan terbaring oleh penyelianya selepas masih tidak kelihatan untuk bekerja di ladang sayur yang terletak tidak jauh dari rumahnya itu lapor Utusan.
Jiran mangsa, Ajarah Maarof, 59, berkata, dia dimaklumkan oleh penyelia kebun sayur tentang keadaan mangsa yang pengsan di atas lantai rumah dan menjumpai dada mangsa dalam keadaan melecur.
“Saya dapati keadaan mangsa agak parah, bahagian dadanya terdapat kesan melecur dipercayai terkena renjatan elektrik.
“Saya terus menghubungi pasukan bomba dan pihak polis untuk melihat keadaan mangsa sebelum disahkan pegawai perubatan yang mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Ajarah berkata, sejurus kemudian pihak polis tiba dan membawa mangsa ke Hospital Port Dickson untuk pemeriksaan lanjut.
Pekerja rajin dan selalu solat jemaah di masjid
“Mangsa seorang pekerja yang rajin dan selalu pergi ke masjid untuk solat jemaah dan setahu saya dia yang dipanggil ‘Baiya’ tidak mempunyai keluarga di Malaysia sejak bekerja dua tahun lalu di sini.
“Saya difahamkan wayar pengecas telefon bimbit mangsa turut basah terendam dalam air banjir kilat yang berlaku awal pagi tadi kemungkinan berlaku litar pintas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat.
Baca Juga: Aduh! Nat besi ini tersangkut pada jari kanak-kanak