Hanya sebab mahu putuskan hubungan, wanita ditekup muka dengan bantal hingga maut

  • Post author:

Akibat tidak berpuas hati teman wanita mahu memutuskan hubungan, lelaki berusia 19 tahun sanggup menekup muka mangsa yang berusia 24 tahun dengan bantal hingga maut. Kejadian dikatakan berlaku dekat sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut dikesan selepas seorang wanita membuat aduan dibuat selepas menerima panggilan video dalam aplikasi Whatsapp.

Suspek berusia 19 tahun itu dikatakan meminta bantuan untuk mengambilnya di lokasi tersebut selepas menekup muka kekasihnya sehingga tidak sedarkan diri.

“Polis sampai di tempat kejadian dan mendapati kejadian berlaku dekat sebuah rumah jenis lot di Kampung Pandan, Klang. Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut.

“Pemeriksaan tubuh badan tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan. Pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek berjaya ditangkap kira-kira 9.20 malam pada hari sama oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

“Suspek dipercayai terlibat dalam kes ini ditangkap di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian dan dalam usaha untuk melarikan diri. Semasa tangkapan dibuat, polis berjaya merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek. Polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan siasatan dalam tempoh masa yang terdekat,” jelasnya.

Suspek kemudian dibenarkan direman selama tujuh hari hingga 31 Ogos ini oleh Mahkamah Majistret Klang dan polis kertas siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.

Hoong Fong menambah, suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau lapor Utusan.

Baca Juga: Gara-gara terima hadiah cermin mata, pembantu penguatkuasa PBT ditahan SPRM

Baca Juga: Belum pun reda isu LCS kereta kebal ATM pula rosak di tengah jalan, netizen sekali lagi persoal kelengkapan ketenteraan negara