Penduduk di negeri Kedah diminta berwaspada dengan perubahan cuaca termasuk fenomena air pasang.
Ia dijangka melanda kawasan tertentu berhampiran pantai dalam tempoh terdekat di negeri berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, dua kawasan di Kedah iaitu Kuala Kedah dan Kuala Muda dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang.
Beliau memaklumkan, kesemua anggota bomba di Kedah sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam berdepan perubahan cuaca termasuklah fenomena air pasang tersebut.
“Kebiasaannya, air pasang akan naik dari paras buku lali ( 0.1 meter) dan paling tinggi hingga paras lutut (0.3 meter). Namun, sekiranya melebihi paras tiga meter maka ia berpotensi menjadi air pasang besar.
“Ditambah pula, sekiranya hujan lebat bertembung air pasang besar maka ia akan menyebabkan kemungkinan banjir yang lebih kritikal, jadi kena berhati-hatilah dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, hari ini.
Baca Juga: Jangan bawa masalah peribadi ke atas pentas, Awie nasihat penyanyi untuk jaga adab
Baca Juga: Hebatnya kasih seorang ayah demi lihat anak bahagia