Hentikan penyebaran dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.
Itu disuarakan Polis Kelantan susulan beberapa dakwaan melibatkan kes culik kanak-kanak sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar di laman maya adalah tidak berasas.
“Beberapa posting (hantaran) yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan mendorong PDRM khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.
“Dakwaan mengaitkan individu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat-tempat tertentu juga disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.
“Hasil siasatan mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah itu tidak mempunyai niat untuk menculik, sebaliknya mempunyai urusan lain.
“Dakwaan sama turut berlaku di daerah Kuala Krai, baru-baru ini, sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.
“Apabila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ,” jelas beliau.
“Saya tegaskan di sini, mereka yang terbabit menyebarkan maklumat tidak betul salah salah dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis memohon orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Baca Juga: Saja cari penyakit, budak lelaki cucuk jarum akupunktur pada kemaluan sebab bosan
Baca Juga: Tiada kes penculikan dan jual organ, PDRM nafi mesej tular di media sosial